.:: Welcome ::.
Assalamualaikum | Selamat Datang ke http://ummuizzatu.blogspot.com/ | Terima kasih kerana mengunjungi http://ummuizzatu.blogspot.com/ | Sirru 'Ala Barakatillah | Sila Datang Lagi
.:: Time ::.
.:: Calender ::.
.:: Chat ::.

ShoutMix chat widget
.:: Family Album ::.



























.:: Solat ::.
.:: Nakbah Palestin ::.
.:: Mutiara Kata ::.
Berkata Saidina Abu Darda' :- Tanda orang jahil ada 3 : * Kagum dengan diri sendiri. * Banyak bercakap tentang perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. * Melarang manusia daripad melakukan kejahatan dan dia sendiri melakukannya.
.:: Guest ::.
.:: Boikot ::.
.:: Radio Nasyid FM ::.
Bazar 1,500 tahun jadi sasaran bom
Tuesday 24 February 2009

KAHERAH - Polis Mesir semalam menyatakan seramai tiga suspek ditahan berhubung kejadian letupan bom di sebuah bazar terkenal di Kaherah yang menyebabkan seorang remaja Perancis mati manakala 25 yang lain cedera.

Serangan kelmarin merupakan keganasan paling buruk terhadap warga Barat di Mesir sejak 2006 namun sehingga kini tidak ada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Bom berkenaan meletup di laluan kafe dan restoran di Khan al-Khalili yang wujud sejak 1,500 tahun lalu.

"Selain tiga suspek itu, beberapa orang turut ditahan untuk disoal siasat," kata seorang pegawai polis.

Remaja Perancis berumur 17 tahun itu mati di hospital. Mangsa menyertai kumpulan 54 remaja dari Paris untuk membeli-belah cenderamata di kawasan tersebut untuk dibawa pulang.

Letupan itu turut mencederakan 17 rakannya termasuk seorang berada dalam keadaan parah.

"Letupan itu sangat kuat. Orang ramai menjerit dan kami lari bertempiaran," kata seorang ahli rombongan, Romy Janiw, 28.

Menteri Kesihatan Mesir, Nasir Rasmi berkata, mangsa yang cedera termasuk seorang warga Jerman, Arab Saudi (tiga) dan Mesir (empat).

"Kebanyakan kecederaan berpunca daripada objek tajam," kata Nasir.

Saksi dan polis memberitahu, dua butir bom dilempar dari atas bumbung yang bertentangan dengan bazar tersebut.

Bom kedua tidak meletup dan ia dimusnahkan oleh pihak berkuasa, kata sumber polis. - AFP

posted by Ummu Syifa' @ 03:55   0 comments
Allah SWT Larang Sikap Boros, Berfoya-foya
Saturday 21 February 2009
BERUSAHA mencari rezeki halal dan membelanjakannya bagi memenuhi keperluan hidup yang selesa dan sempurna adalah antara ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan seseorang Muslim.
Kehidupan yang baik dan selesa kadang-kadang dikurniakan Allah sebagai balasan awal terhadap keimanan dan ketaatan hamba-Nya.
Demikian juga penderitaan dan kesengsaraan hidup, kadang-kadang adalah balasan yang disegerakan di dunia bagi membolehkannya menerima nikmat sepenuhnya di akhirat tetapi ada juga penderitaan itu akibat kelemahan iman terhadap kekuasaan Allah dan berleluasanya kemungkaran dalam kehidupannya.
Hakikat ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengikuti petunjuk daripada-Ku, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit."
(Surah Al-Taha: ayat 123-124)
Di samping unsur kerohanian, Islam juga mengakui bahawa kebendaan turut berfungsi memberi keselesaan kepada manusia. Justeru, Islam menghalalkan kita mengambil makan minum yang lazat, memilih tempat dan kediaman yang memenuhi kehendak dan cita rasa, memiliki kenderaan yang cantik dan pasangan hidup yang damai dan tidak mendatangkan masalah.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda, maksudnya:
"Empat perkara bakal mendatangkan kebahagiaan: isteri yang salihah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang mengundang kekacauan: isteri yang buruk akhlak, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah yang sempit."
Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam juga menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana.
Antara tabiat buruk yang mengancam kesejahteraan umat ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
Al-Quran mengingatkan manusia dua perkara penting melalui dakwah dan Rasul, iaitu bahaya kehidupan mewah dan tabiat sukakan pembaziran. Firman Allah SWT bermaksud:
"Dan orang yang tidak melarang perbuatan mungkar di bumi ini menitikberatkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan jadilah mereka orang yang berdosa."
(Surah Al-Hud: ayat 116)
Dr Yusuf al-Qardawi mengulas mengenai kemewahan, katanya:
"Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza."
Imam Fakhr al-Razi mengertikan kemewahan yang menjadi punca keruntuhan masyarakat ialah tabiat hidup yang sombong dengan kenikmatan yang dirasai.
(Tafsir Al-Kabir, 18/75)
Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam tetapi kehidupan mewah dan sombong adalah suatu cara hidup yang buruk dan dikeji.
Sikap sombong dengan nikmat yang diperoleh, sering membawa manusia melupai Allah SWT dan jauh daripada jalan yang benar. Atas dasar mewah dan sombong inilah, Islam mengharamkan penggunaan peralatan emas dan perak, hamparan sutera dan melarang lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada emas dan sutera.
Selain hidup berfoya-foya dengan kemewahan, al-Quran juga menentang amalan boros dan pembaziran harta ketika berbelanja sehingga melampaui batas kesederhanaan sekali pun barang yang dibelanjakan diperoleh daripada sumber yang halal.
Banyak ayat menyentuh mengenai keburukan tabiat ini, antaranya firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya Firaun adalah orang yang sombong takbur lagi terbilang dalam golongan orang yang boros berbelanja."
(Surah Al-Dukhan: ayat 31)
Membazir dan boros berbelanja diertikan dengan mengguna harta tanpa muslihat dan kepentingan. Amalan ini juga bertentangan dengan prinsip kesederhanaan yang menjadi sifat utama Ibad al-Rahman (hamba-hamba Allah yang maha penyayang) dan dikehendaki Islam sebagaimana firman-Nya bermaksud:
"Hamba-hamba Allah ialah mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana."
(Surah Al-Furqan: ayat 67)
Al-Quran juga sering menggambarkan keburukan tabiat ini dengan menyatakan beberapa persamaan antara mereka dan syaitan, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang boros adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
(Surah Al-Israk: ayat 27)
Imam Fakhr al-Razi mengulas erti pembaziran yang diharamkan Islam, iaitu menghabiskan harta pada jalan yang tidak membawa faedah. Ini bermakna jika harta dibelanjakan pada jalan kebaikan dan kepentingan umum, tidak boleh disifatkan sebagai membazir atau boros.
(Tafsir Al-Kabir: 20/195)
Pembazir harta dikira sebagai saudara syaitan kerana ada beberapa persamaan, antaranya ialah sama-sama kufurkan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya dan tidak menggunakan nikmat yang ada untuk faedah umum yang mendatangkan kebajikan.
Pembaziran harta disebut juga dalam hadis Rasulullah dengan Idat al-Mal atau memusnahkan harta benda. Sikap ini termasuk amalan yang dibenci Allah. Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya "Dawr al-Qiyam Wa al-Akhlak Fi al-Iktisad al-Islami" memberi contoh pembaziran yang berlaku dalam masyarakat sama ada secara disedari atau tidak, seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat luntur, tidak menyelenggara rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak.
Membiarkan lampu menyala tanpa sebarang muslihat, membiarkan paip air bocor menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung, membuang makanan yang masih boleh dimakan pada hal ada orang miskin yang kelaparan, memusnahkan pakaian yang masih baik dan boleh dipakai semata-mata kerana dianggap ketinggalan zaman pada hal ada orang memerlukannya untuk menutup aurat, menaiki kenderaan bersendirian pada hal masih ada beberapa tempat duduk yang kosong dan ada orang yang memerlukannya untuk menuju ke destinasi yang sama dan makan bersendirian padahal dia boleh dikongsi beberapa orang.
Mensia-siakan harta adalah suatu sikap yang bertentangan dengan budaya Islam, termasuklah membiarkan bumi kosong tanpa ditanam sebarang pokok atau tanpa diambil langkah menghidupkan buminya, perusahaan yang tidak ditingkatkan produktivitinya pada hal ia masih boleh ditingkatkan, haiwan disembelih tetapi banyak bahan yang berfaedah terbuang seperti kulit, bulu dan seumpamanya.
Justeru, pembaziran bertentangan dengan budaya Islam. Rasulullah pernah menegur seorang lelaki yang sedang mengheret bangkai kambing untuk dibuang, sabda baginda:
"Mengapa kamu tidak buang kulitnya terlebih dahulu?"
Jawab mereka:
"Kulit kambing ini bangkai yang tidak berguna lagi."
Sabda baginda:
"Bangkai itu hanya haram dimakan, tetapi kulitnya masih boleh dimanfaatkan."
Justeru, harta benda tidak boleh disia-siakan. Imam al-Bukhari menjudulkan hadis di atas dengan suatu judul yang menarik, iaitu: "Perlukah tempayan arak dipecahkan?"
Maksud beliau ialah jika tempayan arak boleh dibersihkan, tidak ada sebab mengapa ia harus dimusnahkan.
Pemikiran Islam jelas sekali dalam hal ini dan kita percaya hasrat kerajaan supaya mengambil langkah berjimat cermat bagi mengatasi masalah kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan nilai ringgit akan tercapai sepenuhnya dalam tempoh terdekat jika ajaran Islam ini dihayati dengan sebaik-baiknya.
posted by Ummu Syifa' @ 14:10   0 comments
Pembunuhan As-syahid Dr Abd al-Aziz al-Rantisi : Israel, AS Mesti Disekat
Wednesday 18 February 2009
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengutuk tindakan tentera Israel yang membunuh pemimpin Hamas, Dr Abd al-Aziz al-Rantisi dan menganggap tindakan itu merupakan satu keganasan yang amat melampau dan tidak patut didiamkan oleh masyarakat antarabangsa.

"Pencinta-pencinta keamanan di seluruh dunia perlu mengutuk tindakan ini," kata beliau.
Kata Abdul Hadi, apa yang malangnya apabila tindakan kejam Israel itu mendapat sokongan daripada sebuah kuasa besar yang kononnya menentang keganasan didunia ini iaitu Amerika.

Katanya, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden negara itu, George Bush jelas memberi semangat kepada Israel supaya menjadi lebih ganas.

Selain pada itu, Abdul Hadi dalam masa yang sama turut mengutuk tindakan ketenteraan Amerika ke atas rakyat Iraq.

Katanya, Amerika kononnya mendakwa membawa demokrasi tetapi menggunakan kekerasan senjata untuk berhadapan dengan rakyat Iraq serta tidak memberi hak kepada mereka mendapatkan hak mereka dalam tanah air mereka.

"Ini merupakan pencabulan terhadap hak asasi manusia, hak keadilan sejagat dan paling malang ia melibatkan pembunuhan orang-orang awam," katanya.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Dr Abdul Aziz Rantissi oleh tentera Yahudi Israel kelmarin.

Kejadian berdarah ini berlaku tidak sampai sebulan selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Shiekh Ahmad Yassin. DPP Pusat percaya pembunuhan ini dilakukan oleh Israel setelah mendapat restu daripada sekutu utamanya, Amerika baru-baru ini.

DPP Pusat melihat pemimpin kedua-dua negara, Ariel Sharon dan George W Bush bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keganasan yang menimpa Rantissi.

Peristiwa pembunuhan pemimpin-pemimpin Hamas dan ugutan bunuh terhadap pemimpin PLO membuktikan kepada dunia siapa sebenarnya pengganas antarabangsa.

Bush sebelum ini mengkritik umat Islam kerana kononnya menaja keganasan global, tetapi Bush sendiri telah melakukan keganasan di Palestin dan juga Iraq. Dunia kini sepatutnya sedar bahawa syaitan utama dunia adalah Amerika dan Israel.

Nyawa dan darah umat Islam di Timur Tengah telah banyak terkorban akibat keganasan yang dilakukan oleh kedua-dua syaitan dunia ini.

Kebinatangan mereka telah memusnahkan tamadun kemanusiaan. Perjuangan Bush untuk menghapuskan keganasan antarabangsa hanya topeng untuk menyembunyikan wajah syaitannya.

Pembunuhan Rantissi kelmarin sepatutnya memberikan kesedaran global kepada umat Islam tentang keperluan untuk bertindak balas bagi menangani keganasan Amerika dan Israel. Amerika dan Israel tidak boleh lagi dianggap sebagai sahabat atau rakan dalam segala urusan umat Islam.

Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) sepatutnya telah bertindak untuk menangani perkara ini. Tetapi selepas pembunuhan Sheikh Ahmad Yassin dan keganasan di Falujjah, masih belum ada satu tindakan yang konkrit dilakukan.

DPP Pusat mendesak Malaysia sebagai Pengerusi OIC supaya bertindak segera untuk menyelamatkan nyawa umat Islam. Pertubuhan-pertubuhan umat Islam yang lain seperti Liga Arab juga mesti mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan dengan Israel. Negara Arab tidak sepatutnya menjadi barua Israel ketika keadaan tegang seperti ini.

DPP Pusat mengutuk sekeras-kerasnya kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam melindungi nyawa umat Islam. Majlis Keselamatan PBB yang begitu cepat bertindak ke atas Afghanistan, Iraq dan Osama Laden, bisu seribu bahasa apabila berhadapan dengan pengganas seperti Sharon dan Bush.

PBB tidak sepatutnya melihat sahaja konvensyen-konvensyen dan resolusi-resolusinya dilanggar oleh dua syaitan dunia ini.

Majlis Keselamatan sepatutnya sudah bersiap untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Israel setelah mereka membunuh rakyat Palestin, tetapi dengan pengaruh Amerika, Majlis Keselamatan PBB menjadi pondan dan tidak berupaya untuk bertindak.

Jika keadaan seperti ini berterusan, Majlis Keselamatan PBB patut dibubarkan sahaja. DPP Pusat tetap menuntut supaya satu tindakan tegas dikenakan oleh masyarakat antarabangsa ke atas Israel dan Amerika.

SALAHUDDIN HAJI AYUB

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
posted by Ummu Syifa' @ 22:17   0 comments
Siasah Syar'iyyah & Perlaksanaannya Pada Masa kini
Sains politik Islam
Oleh DR ABDUL AZIZ HANAFI

Siasah Syar’iyyah atau Sains Politik Islam merupakan suatu peruntukan khas anugerah Allah swt kepada pimpinan negara/negeri Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Sunnah al Nabawiyah sebagai perlembagaannya.

Ianya muncul bersama kelahiran Kerajaan Islam yang pertama di Madinah al-Munawwarah yang dipimpin sendiri oleh baginda s.a.w.

Kemudian diikuti pula di zaman pemerintahan para khalifah al-Rasyidin r.a. ajma’in dan di zaman selepasnya.

Fungsi dan tugasnya amat penting dalam menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sentiasa membaru yang memerlukan kepada jawapan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira kesesuaian dan ketepatannya dengan kehendak Syariah Islam yang mulia.

Maka sudah tentu pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum-hukum menerusi Al-siyasah al-Syar’iyyah ialah pimpinan kerajan Islam yang memiliki keupayaan berijtihad secara jama’ie hasil gabungan antara para ulamak dan kumpulan professional seperti yang pernah dilakukan di zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid ketika baginda meminta Al-Qadhi Abu Yusuf menyediakan rangka cadangan kutipan hasil-hasil pertanian termasuklah menyediakan infrastruktur ke arah menjayakan projek tersebut begitu juga mengenai system pengairan yang baik dan teratur.

Maka dengan kerjasama Osman bin Hunaif, seorang juruukur yang terkenal pada masa itu, maka petua Al-Qadhi Abu Yusuf telah berjaya dihasilkan dan dikenali dengan nama al-Kharaj.

Melihat kepada kedudukan kita sebagai sebuah jama’ah Islamiyah yang dilihat sebagai sebuah jamaah yang memiliki keupayaan memanfaatkan kesemua tenaga para ulamak dan professional kita dalam membina keutuhan hukum, undang-undang, peraturan-peraturan yang sebahagiannya terpaksa mengambil kira kesesuaian masa dan tempat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak yang konkrit.

Pembahagian Hukum Syarak

Sepanjang kajian kita dalam bidang syariah, kita mendapati bahawa hukum-hukumnya terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama:

Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘kulliyah’ iaitu hukum-hukum syarak yang tetap dari segi prinsip dan pelaksanaannya dan tidak tunduk kepada sebarang perubahan masa dan tempat sehinggalah ke Hari Kiamat.

Sebagai contoh, hukum-hukum mengenai urusan aqidah, akhlak, ibadah, undang-undang keluarga (pusaka), hudud dan qisas.

Kedua:

Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘juz’iyah’.

Hukum-hukum ini agak berbeza dengan hukum-hukum syarak yang pertama kerana perlaksanaan hukum-hukum ini boleh berubah berdasarkan kepada perubahan masa dan tempat walaupun prinsip-prinsipnya masih kekal dan tidak berubah.

Sebagai contoh, pelaksanaan konsep Al-Syura boleh menerima perubahan daripada semasa ke semasa sedangkan prinsip atau konsepnya kekal dan tidak berubah sepertimana yang berlaku selepas kewafatan baginda saw khususnya di zaman khulafa’ al-Rasyidin r.a.

Hukum-hukum syarak di bahagian inilah yang pernah diungkapkan oleh para ulamak dengan kata mereka:

“Di sana terdapat beberapa hukum syarak yang berkait rapat dengan ‘illah (sebab), dengan kata lain adanya ‘illah ada hukumnya dan tiada ‘illah maka tiada hukumnya”.

Sebagai contoh, sepertimana tindakan Saidina Umar al-Khattab r.a. memberhentikan pemberian zakat kepada ketua-ketua Quraisy yang masih kafir yang sebelum ini pernah mendapatnya di zaman baginda Rasulullah saw, di zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan di awal zaman pemerintahan baginda sendiri (sebelum pembukaan Rom dan Parsi).

Hukum-hukum syarak bahagian kedua inilah yang dikenali dengan Al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah.

Pengertian Siasah Syar’iyyah

Para ulamak mengemukakan dua takrif siasah syar’iyyah:

1. Takrif ‘Am

Siasah Syar’iyyah mengikut takrif ‘am diertikan sebagai peraturan-peraturan dan undang-undang yang digubal untuk mengurus dan mentadbir negara di mana ianya sejajar dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak walaupun tidak terdapat dalil-dalil yang tafsiliy.

Takrif ini merangkumi semua aspek peraturan dan undang-undang samada yang berkaitan dengan lembaga penggubal, pelaksana dan kehakiman termasuklah juga urusan-urusan perlembagaan, soal dalam dan luar negara.

Di antara buku-buku yang ditulis berkaitan dengan siasah syar’iyyah seperti Al-Hukum al-Sultaniyah karangan Al-Imam al-Mawardi Al-Syafi’e dan Qadhi Abu Ya’ia Al-Hanbali, kitab Al-Siasah al-syar’iyyah fi Islah al-ra’I wa ra’iyyah karangan Al-Imam Ibn Taimiyah dan kitab Tafsir al-Hukum oleh Ibn Firhaun.

Kitab-kitab yang serupa ini menyebutkan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan kerajaan Islam terhadap rakyat jelata dalam semua aspek kehidupan.

2. Takrif Khas

Ia diertikan sebagai suatu hukum yang agak keras yang dipetik daripada dalil-dalil yang ijmaliyah sekiranya hukum fiqh biasa tidak dapat mencapai matlamat di mana hukum serupa itu disyariatkan.

Ianya seolah-olah menyerupai undang-undang khas yang digubal apabila negara berada di dalam keadaan darurat.

Ibn Nujaim al-Hanafi menjelaskan tentang hukuman zina menyatakan bahawa siasah syar’iyyah bermaksud suatu tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan demi untuk suatu maslahah walaupun tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil yang juz’ie, seperti mengenakan hukuman buang daerah kepada penzina yang belum muhsan selain disebat sebanyak seratus kali.

Untuk menjelaskan lagi kedudukan siasah syariyyah, para ulamak memberikan beberapa contoh antaranya seperti berikut:

1.Boleh dikenakan hukuman bunuh ke atas pencuri yang berulang kali melakukan jenayah tersebut

2.Seseorang yang dituduh mencuri yang enggan mengaku bersalah, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti mengurungnya atau menyebatnya dengan syarat pada hemat pihak berkuasa bahawa besar kemungkinan tertuduh sememangnya terbabit dalam kes kecurian tersebut dan barang yang dicuri masih berada di tangannya.

Sedangkan jika menurut hukum fiqh biasa, kes seperti di atas pihak pendakwa akan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang mensabitkan pertuduhan ataupun pihak tertuduh bersumpah menafikan tuduhan tersebut

3.Rasulullah saw pernah disoal mengenai unta dan kambing yang hilang di padang pasir.

Baginda menyuruh agar sekiranya kambing-kambing itu dijumpai hendaklah mereka mengurungnya sehingga didapati tuannya dan diserahkan kepadanya semula.

Adapun mengenai unta-unta yang hilang, baginda mengarahkan agar binatang tersebut dibiarkan begitu sahaja sehinggalah tuannya menjumpainya.

Hukum ini berkuatkuasa sehinggalah zaman Saidina Othman bin Affan r.a.

Di zaman baginda keadaan dan suasana agak berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana perompak dan penyamun bermaharajalela hatta di padang pasir.

Kerana itu, baginda memerintahkan agar unta dan kambing yang hilang ditangkap dan dikurung sementara menunggu kehadiran tuan empunya, sedangkan sebelum itu apa yang dibimbangkan hanyalah binatang-binatang buas seperti singa dan harimau.

Kambing sebagai binatang yang kecil dan lemah tentunya tidak mampu melawan binatang buas tersebut sepertimana unta.

Di zaman Saidina Ali r.a. pula, segala –perbelanjaan untuk menjaga binatang tersebut diambil daripada Baitul Mal.

4.Saidina Umar r.a. menjatuhkan talak tiga ke atas lelaki yang menceraikan isterinya (talak tiga) dengan satu lafaz.

5.Penulisan mushaf di zaman Saidina Abu Bakar r.a.

6.Mengadakan jabatan-jabatan di zaman Saidina Umar r.a.

7.Dasar Saidina Umar r.a. mengekalkan tanah-tanah yang dibuka di Iraq kepada tuan-tuan empunya disamping mengenakan cukai (al-kharaj) ke atas tanah tersebut sekiranya mereka masih menganut agama asal mereka

8.Keputusan Saidina Umar r.a. membuang daerah seorang pemuda di Madinah yang bernama Nasr bin Haliaj.

Pemuda ini memiliki rupa paras yang amat kacak sehingga mempesonakan seorang gadis di kota suci itu.

Mulanya Umar r.a mengarahkan pemuda itu dicukur. Namun, rupa parasnya masih lagi cantik.

Akhirnya dia dibuang daerah ke Basrah, Iraq. Pada hemat Saidina Umar r.a., jika pemuda tersebut masih dibiarkan berada di Madinah, kemungkinan besar gadis-gadis lain turut terpesona dengan kekacakannya.

Ini suatu fitnah yang besar terutama di kota suci Madinah.

Berlainan sekiranya kalau pemuda itu di Basrah sebab beliau dikira terasing di tempat orang.

Lagipun, mungkin dia akan bersikap lebih waspada terhadap dirinya.

Hukum-Hukum Yang Diputuskan Menerusi Siasah Syariyyah

Perlu ditegaskan bahawa semua hukum yang diputuskan menerusi Al-Siasah al-Syar’iyyah ianya juga digolongkan sebagai hukum-hukum syariah.

Ini kerana ianya ditentukan menerusi dalil-dalil syariah yang umum sepertimana ia diputuskan melalui al-Maslahah al-Mursalah yang diguna pakai sebagai salah satu sumber hukum.

Oleh itu, penggunaan istilah al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah yang terdapat di dalam kitab-kitab berkenaan adalah penggunaaan istilah biasa dan tidak berubah kandungan dan struktur hukum-hukum tersebut.

Hukum-hukum tersebut memberi keluasan dan kelonggaran kepada pemerintah kerajaan Islam dalam melaksanakan keadilan dan memastikan kemanan tumbuh subur di dalam kehidupan masyarakat dengan syarat ianya bebas daripada sikap keterlaluan dan kecuaian dan berish daripada sebarang kepentingan diri.

Hukum-hukum yang diputuskan melalui siasah syar’iyyah lebih bersifat fleksibel.

Walaubagaimanapun, para ulamak meleraikkan syarat-syarat berikut:

1.Ianya diputuskan oleh pemerintah negara dankerajaan Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai perlembagaannya.

Kerajaan yang tidak Islam atau orang perseorangan tidak berhak menjadikan siasah syar’iyyah sebagai saluran untuk mengeluarkan hukum-hukum tersebut

Maka dalam konteks kita sebagai sebuah Jama’ah Islamiyah yang setakat ini diamanahkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dua buah negeri Kelantan dan Terengganu, di samping DUN-DUN dan Parlimen yang kita kuasai, maka pada hemat penulis, kita sudah berupaya insya-Allah untuk mengeluarkan hukum-hukum dan peraturan-peraturan menerusi al-Siasah al-Syar’iyyah lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan urusan dlam jama’ah, begitu juga urusan luar yang masih berada di dalam bidang kuasa kita.

2.Hukum-hukum tersebut hendaklah bertepatan dengan semangat perundangan Islam serta berpandukan kepada kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip am dalam Islam seperti kaedah Sadd al-Zara’ie dan Raf’a al-Harj sepertimana ia juga bersesuaian denga prinsip Al-syura, Tahqid al-Adalah dan prinsip Al-Ruju’ bimu’ dhakit al-umuri ila ahl al-zikri wa al-Ra’yi (merujuk semua urusan yang rumit kepada kumpulan cerdik pandai).

3.Tiada sebarang percanggahan yang hakiki dengan mana-mana dalil tafsiliy yang telah menjadi sebagai syariat’ am di setiap masa dan tempat, ataupun sememangnya ada dailil tersebut tetapi hanyalah sebagai syariat/peraturan sementara spertimana masalah penetapan harga barangataupun sedari asal tiada sebarang dalil tafsiliy berhubung dengan perkara berkaitan

Ibn Qayyim r.a. dalam kitabnya Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siasah al-syar’iyyah menukilkan kata-kata Ibn ‘Uqail r.a. yang bermaksud:

Sudah menjadi kebiasaan betapa dibolehkan beramalan dengan siasah syar’iyyah dalam negara malah itu merupakan suatu tekad bahkan setiap tokoh ulamak (imam) telah bersikap demikian.

Imam Al-Syafi’e r.a. menegaskan katanya…”Tiada siasah dikira sah melainkan ianya hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak.

‘Ibn ‘Uqail r.a. pula menyatakan: “Siasah ialah suatu tindakan yang boleh membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan terhindar jauh daripada kebinasaan walaupun itu tidak pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu”.

Inilah siasah yang dikatakan siasah syar’iyyah yang adil dan saksama.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa saluran al-Siasah al Syar’iyyah sepatutnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS sebagai organisasi Islam yang bersifat haraki yang mengambil tempat sebuah kerajaan Islam di rantau ini.

Kita sesungguhnya memiliki tiga fakta utama dalam memenuhi keperluan siasah syar’iyyah iaitu:

1.Timbulnya isu-isu dan masalah-masalah baru yang memerlukan jawapan yang tepat

2.Wujudnya kumpulan ilmuan yang terdiri daripada ulamak dan professional yang pada penulis dapat di manfaatkan dalam melengkapkan lagi organisasi pengurusan dan pentadbiran jama’ah

3.PAS bukan lagi sebagai sebuah badan dakwah, malah dengan izin Allah SWT telah mengorak selangkah ke hadapan sebagai sebuah kerajaan walaupun di peringkat negeri

Sama-sama kita berdoa semoga Allah swt sentiasa menganugerahkan taufik dan hidayahNya serta mengekalkan kerajaan PAS yang sedia ada dalam usahanya untuk meluaskan sempadan pemerintahannya dan meyakinkan kepada masyarakat umum betapa Islam sebagai pilihan utama mereka di masa dahulu, sekarang dan untuk selama-lamanya, Amin.

Bibiliografi 1.Al-Quran al-Karim

2.Kitab-kitab Hadith

3.Al-Asybah Wa Al-Nazair, Al-Imam Al-Sayuti

4.Al-Siasah Al-Syar’iyyah Fi Islah al-Ra’yi Wa al-Ra’iyah Ibn Taimiyah

5.Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siayasah al-Syar’iyyah, Ibn Al-Qayyim

6.Majalah al-Dirasat al-‘Arabiyah Wa al-Islamiyah, IPI Brunei Darussalam

7.Al-Kharaj, Al-Qadhi Abu Yusuf
posted by Ummu Syifa' @ 22:10   0 comments
Akhlak dan Adab Berjemaah
MUQADDIMAH

Adapun parti kita (Parti Islam Se-Malaysia) berada di atas prinsip yang benar iaitu menegakkan Islam secara menyeluruh.

Ia bermula daripada ikrar syahadah dan menunaikan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumahtangga, bermasyarakat sehinggalah perkara yang tidak dilakukan oleh jamaah-jamaah lain secara tegas, iaitu menegakkan negara Islam.

Maka dengan itu, ia telah membezakan kita dengan parti-parti, jamaah-jamaah dan kumpulan-kumpulan lain termasuklah yang bernama Islam.

Prinsip ini menyebabkan kita menghadapi cabaran lebih banyak dan hebat, namun kita terus maju dan berkembang. Walaupun demikian, kita perlu memenuhi tuntutan-tuntutan yang berkait dengan setiap ahli di semua peringkat demi mencapai kemenangan yang dijanji kurnia oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka itu khalifah (orang yang memerintah dengan Islam) di atas bumi sebagaimana dia pernah mengurniakan khilafah kepada orang -orang yang terdahulu daripada mereka. Dia akan menjadikan agama mereka (Islam) yang Dia redha memerintah untuk mereka dan Dia akan menukarkan kepada mereka suatu keadaan selepas berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka itu menyembahKu, tidak menyekutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang menjadi kufur selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al-Nur: 55)

Perlu difahami juga bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar yng benar tanpa membina peribadi dengan akhlak-akhlak berparti atau berjamaah.

Oleh itu, maka saya kemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk menjadi perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berparti

Dalam meniti liku-liku perjuangan Islam, ianya penuh dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang begitu mendesak. Justeru, pada diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan Islam dan diwarnai dengan akhlak berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Ini amat penting agar pertolongan Allah sentiasa bersama para pejuang.

Bagi meletakkan perjuangan kita diterima dan direstui oleh Allah s.w.t. serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1.Ikhlas

Mestilah ikhlas yakni mampunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan di dalam negara yang melaksanakan hukum syariat.

Maksudnya: “Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. telah menceritakan kepada kami, katanya : seorang arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya : “Orang yang berperang kerana mahukan ghanimah (harta rampasan), orang yang berperang supaya disebut (menjadi masyhur), berperang kerana riak (menunjuk-nunjuk kepada orang), maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi paling tinggi maka dialah yang berperang pada jalan Allah.” (Muttafaq’Alaih)

Yang dimaksudkan dengannya perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sama ada melalui cara pilihannya sehinggalah berperang di negeri yang tidak ada cara yang lain daripadanya mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (Al-Baiyinah: 5)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadith. Maksudnya:

“Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung keapda niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seseorang perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ‘ujub dan sum’ah.

Allah s.w.t. telah mengajar generasi awal di kalangan umat Islam dalam beberapa peristiwa di zaman Rasulullah. Di antara peristiwa-peristiwa itu ialah peristiwa uhud dan Hunain yang mejadi iktibar sepanjang zaman.

Dalam kes ini di Uhud, Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusanitu dan menderhakai perintah rasul sesudah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai, di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia atas orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran: 152)

Allah s.w.t. juga telah berfirman berkenaan dengan peristiwa Hunain, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan pada hari berlaku peperangan Hunain ketika kamu megah dengan diri sendiri kerana ramainya jumlah kamu, mak jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu lari ke belakang bercerai-berai, kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dn Allah mengazabkan orang-orang kafir dandemikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir, kemudian Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al -Taubah: 25 – 27)

2.Percaya dengan baik kepada Allah (husnu al-thiqah billah), memohon pertolonganNya dan percaya kepada janjiNya.

Seseorang yang menceburkan dirinya dalam perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjiNya di dunia dan akhirat.

Perkara ini hendaklah dinyatakan dengan mengadakan hubungan yang baik dengan Allah dengan sifat taqwa, mengerjakan perintah dan meninggalkan laranganNya, sehingga ia tidak boleh dijelaskan oleh amaran, sogokan dan bagaimana sekalipun keadaan dan sifat-sifat musuh-musuh Islam itu dan sehingga tidak ada di dalam diri perasaan tidak ada harapan untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan cita-cita Islam dan juga perasaan tidak yakin dengan janji Allah s.w.t. di akhirat.

Orang-orang yang berjuang bersama Rasulullah s.a.w. yang melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada suatu wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar dan situasi yang terang-terang menandakan kemenangan Islam,mereka percaya kepada firman Allah,maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah mesti menolong orang yang menolong agamaNya, dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami bolehkan kepada mereka memerintah di bumi mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran da bagi Allah akibat segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Rasulullah tidak menerima Bani Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana mereka takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia dn tidak yakin bahawa Islam dapat menumbangkan Parsi dan Rom.

Tetapi sebaliknya berbai’ah dengan aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya di dunia bahawa Islam akan menang dan jnji kebahagiaan di akhirat. Lalu mereka menunaikan perintah Allah dengan patuh dan menhadapi penghalangnya yang datang dari segenap penjuru dan sentiasa menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.

3.Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan.

Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya:

“Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orangyang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)

Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)

Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)

Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia.

4.Taat

Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 59)

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain.

Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbaga-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

5.Ukhuwwah (persaudaraan Islam)

Ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain.

Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah s.a.w. menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya.

Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain.

Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.

6.Kerahsiaan

Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan parti untuk menentangnya, oleh itu kita tidak boleh boros dengan kenyataan yang mendedahkan kerahsiaan, membongkar perkara-perkara dalaman yang tidak patut dibuka kepada umum sehingga mendedahkan kelemahan kepada musuh dan memberi kemudahan kepada mereka untuk memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perjalanannya.

Sirah Rasulullah s.a.w. banyak mengajar kita di dalam perkara ini secara praktikal, di mana kemenangan banyak dicapai dengan cara-cara yang mengejutkan musuh dan mereka tidak ada ruang untuk mengambil kesempatan dari beberapa kelemahan yang ada.

Parti bukan sahaja perlu menyusun strategi yang baik dan rapi tetapi juga perkara-perkara yang menjadi suatu kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan , adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh kepimpinan termasuklah perkara yang perlu dirahsiakan. Adalah tidak bijaksana sekiranya untuk mengumumkan semua perkara dan ahli-ahli menekan dalam perkara ini sehingga menjejaskan ketaatan dalam melaksanakan tugas parti.

Sebaliknya sebarang rahsia musuh yang dapat dikesan sama ada kecil ataupun besar hendaklah dilaporkan kepada parti.

7.Tidak leka dengan pencapaian yang ada

Seringkali berlaku apabila terdapat sedikit kemajuan atau kemenangan menyebabkan berlakunya kelekaan dalam menjalankan tugas dan memberi sumbangan kepada parti. Allah s.w.t. telah menegur para sahabat r.a. apabila mereka memandang ringan kepada kewajipan jihad setelah mencapai beberapa kemenangan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Seringkali berlaku di negeri atau kawasan yang mencapai kejayaan berlakunya kecuaian walaupun untuk mempertahankan kemenangan itu, sehingga tugas-tugas parti menjadi perkara-perkara sampingan.

8.Menunaikan janji dan beriltizam dengannya

Allah s.w.t. telah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak ( mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl: 91)

Samada perjanjian dengan jamaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh-musuh hendaklah ditunaikan dan disempurnakan dengan baik. Sebarang kemungkinan boleh menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan.

9.Tidak melampau

Allah s.w.t. melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Al-Baqarah: 190)

Penutup

Demikianlah sebahagian daripada perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan di samping bermuhasabah kepada diri sendiri dan parti supaya perjuangan kita diterima, diredhai Allah dan dikurniakan kemenangan dunia dan akhirat.
posted by Ummu Syifa' @ 10:14   0 comments
.:: About Me ::.

Name: Ummu Syifa'
Home: Tanta, Gharbiyyah, Egypt
About Me: Muhd Fikri B Mohd Fadzlullah Suhaimi. Dilahir pada 6/1/1982. Saya berasal dari Kok Lanas, Kota Bharu Kelantan. Telah menamatkan pengajian di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra. Kini sedang menuntut di tahun akhir dalam bidang usuluddin syu'bah tafsir di Universiti Al-azhar cawangan Tanta. Telahpun berumahtangga pada 4 Februari 2007 dengan isteri tersayang Tuan NoorMaharan Binti Tuan Soh yang berasal dari Machang,Kelantan. Tanggal 9 zulkaedah 1429 bersamaan 7 november 2008 kami dikurniankan seorang puteri yang diberi nama Nik Nur Izzatu Syifa'.Kini sedang mengajar sebagai guru sandaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong.(15.2.2010)
See my complete profile
.:: Previous Post ::.
.:: Archives ::.
.:: Pautan Mahasiswa ::.
.:: Pautan Luar ::.
.:: Kezaliman Yahudi ::.
.:: Traffic Feed ::.
.:: Powered By ::.

BLOGGER

© 2006 Keredhaan-Mu Ku Mohon .Ummi Izzatu Blogspot Template by Ummi Izzati Dot Com